Tuesday, July 25, 2017

BENARKAH TIDAK BOLEH MINUM AIR BANYAK KETIKA BERPANTANG?

Benarkah tidak boleh minum air yang banyak ketika berpantang?


InsyaAllah saya akan cuba kupas dari dua aspek berbeza ya.

Menurut Teori Perubatan Moden :-
Menekankan perlunya jumlah air yang mencukupi untuk mengelakkan kes darah beku di kaki ibu bersalin yang boleh menyebabkan salur darah di paru-paru tersumbat. Darah beku ini bergantung kepada hukum Virchow's Triad ( ilmu asas Patofisiologi). 3 elemen dalam pembekuan darah iaitu statis (tidak bergerak), hypercoagubality (keadaan darah mudah membeku) dan ketiga pula, endothelial injury (kecederaan pada salur darah)

Pada aspek fisiologi & biokimia, ketika wanita berpantang, kandungan bahan penggumpal / pembekuan darah berbeza komponennya. Darah menjadi lebih membeku ( hypercoagubality) bagi mengelakkan kejadian tumpah darah (PPH), di mana berisiko mendapat DVT ( Deep Vein Thrombosis, iaitu situasi darah beku di kaki) yang membawa pula kepada kejadian PE (Pulmonary Embolism, darah beku di saluran darah paru-paru).

Luka bersalin seperti luka episiotomi, koyakan perineum dan pembedahan LSCS, menyebabkan salur darah tercedera samada sedikit ataupun banyak (endothelial injury).
Saluran darah yang tercedera dan kekurangan air boleh mengganggu kelancaran aliran darah (stasis)

Teori Perbidanan Lama :-
Mengehadkan pengambilan air biasa ( air mineral), dengan melebihkan pengambilan air akar kayu dengan dos yang rendah. Jumlah air biasa dihadkan kerana dipercayai boleh menyebabkan rahim kembang, di mana selepas bersalin, rahim perlu melalui proses pengecutan.

Namun, bukan semua orang berani untuk mengambil air akar kayu kerana khuatir susu badan boleh berkurangan.


Perubatan moden percaya banyak kes darah beku di kalangan ibu berpantang disebabkan kekurangan minum air. Ada beberapa kes yang amat serius hingga membawa kepada kematian ibu. Apabila ketulan darah beku bergerak dalam aliran darah dan berhenti di paru-paru, membuatkan saluran darah tersumbat ( Venous Thrombo Embolism), iaitu carta ketiga teratas penyebab kematian ibu ( Maternal Motality) di Malaysia dan serata dunia.

Sebenarnya, mengikut teori Perbidanan Lama, mereka tidaklah mengehadkan jumlah pengambilan air, tetapi air biasa digantikan dengan air akar kayu bagi membantu proses penyembuhan badan ibu itu sendiri. Orang dahulu hanya minum air akar kayu selama 44 hari berpantang, maksudnya mereka perlu menyediakan air akar kayu berbotol-botol. Maka, sebenarnya kandungan air di dalam badan mereka adalah tinggi. Dengan keadaan badan yang lemah disebabkan kekurangan darah selepas bersalin, maka pengambilan air akar kayu ataupun jus buah adalah sangat membantu mempercepatkan proses penyembuhan buat ibu berbanding hanya meminum air biasa.

Apa yang terjadi kepada ibu-ibu moden pada hari ini ialah, mereka langsung tidak makan sebarang herba dan kurang meminum air, di samping makan makanan tidak berkhasiat sejak dari hamil hinggalah berpantang. Adab berpantang cara lama sebenarnya sudah cukup lengkap jika ingin dihuraikan secara ilmiah. Contohnya, meminum air herba atau menelan maajun dan urutan itu sendiri adalah cara terbaik membantu melancarkan pengaliran darah ke seluruh tubuh badan.


Hasil ilmiah bagi teori perubatan moden di atas dirujuk daripada penulisan buku, Ummi On Call lagi, tulisan Dr. Nurul Khairiyah Khairuddi, Doktor Pakar Sakit Puan, Hospital Kuala Lumpur.

Kak Bidan Sempoi Sabah.
Qulusa Therapy
UIS Special Therapy Sdn Bhd.
018-3677769.

* Saya tidak membenarkan anda copy paste penulisan saya untuk tujuan pemasaran produk anda. Setiap ilmu, ada adabnya. 



No comments:

Post a Comment