Friday, May 12, 2017

PROSES PERAWATAN PANTANG CARA TRADISI

Apakah perawatan perbidanan Melayu untuk ibu bersalin?

Menurut penulisan Puan Anisah Barakbah, di dalam Ensiklopedia Perbidanan Melayu Lama, peraturan rawatan ibu bersalin adalah ilmu perbidanan yang diturunkan oleh Nabi Adam a.s dan Siti Hawa. Setiap langkah perawatan dilakukan dengan penuh prihatin berpandu atas pergerakan aliran sistem badan ibu bersalin dan perlu dilakukan secara berperingkat. Iaitu:

1. Terapi Urutan
2. Bertungku
3. Berpilis
4. Mandi Herba
5. Berbengkung

Selepas sebulan bersalin amat penting melakukan rawatan bertangas dan berendam herba (sitz bath) untuk mengelak dari serangan masuk angin. Jika petua-petua ini dipraktikkan dengan tekun buat para ibu agar dapat mempertahankan kesegaran organ reproduktif seseorang wanita kembali mantap dan terpelihara.

Kebiasaannya, selepas ibu bersalin, bidan tua dahulu memulakan urut putaran di bahagian pusat untuk meransang keluaran darah bantal. Disusuli dengan urut pulih badan iaitu usapan lembut menggunakan sapuan minyak sebagai rawatan awal ibu bersalin. Lazimnya rawatan ini dilakukan tiga hari berturut-turut untuk mengelak dari serangan sakit rengat (stomach cramp) dan serangan peringkat awal angin meroyan. Kemudian, urutan disusuli dengan rawatan urut usapan (touch therapy) selama seminggu.

Bagi ibu yang baru melahirkan adalah tidak digalakkan diurut dengan kuat. Urutan yang dilakukan adalah seperti sentuhan lembut dan manja (touch therapy) dengan cara urutan menolak naik dengan lembut (effleurage). Urutan in dapat menenangkan dan memberi keselesaan kepada ibu dari segi fizikal dan psikologi.

Bagi ibu yang bersalin di hospital kebiasaannya akan dibenarkan pulang ke rumah selepas 3 hari. Ini menyebabkan ibu pulang dalam keadaannya telah sembab masuk angin sejuk. Oleh yang demikian, ibu tersebut hendaklah diberikan rawatan pulih badan dan disusuli dengan tuaman batu sungai untuk melembutkan otot dan urat saraf. Adalah dilarang melakukan urutan kuat secara terus, kerana ibu boleh diserang demam bentan urat.

Selepas 3 hari rawatan pulih badan, bidan akan menyediakan rawatan ibu bersalin dengan tuaman batu sungai yang dilakukan bersama dengan urut usapan(touch therapy) selama 7 hari. Diikuti dengan urut sentuhan (wellness massage) selama 2 minggu. Urutan ini dapat mengembalikan kesegeran dan meringankan tubuh ibu bersalin.

Selepas 2 minggu, dengan urutan sentuhan, dilakukan juga urut asak atau therapheutic massage serta tuaman tuku sehingga hari ke-40 pantang bersalin. Urut asak adalah rawatan paling penting dilakukan kerana tugasnya adalah untuk menyediakan posisi rahim dan membolehkan ibu bagi rawatan sengkak. Urutan ini juga dapat membantu memulihkan dan mengembalikan kemantapan dan kekuatan otot, urat saraf, sendi, serta mengeluarkan darah nifas dan darah bayam.

Selepas 40 hari, urut sengkak atau deep tissue massage dilakukan selama 3 hari.



No comments:

Post a Comment